Sunday, January 31, 2010
5 Perkara Untuk Mencapai Bahagia
2. Bertaubat atas segala kesalahan dan dosa-dosa tersebut
3. Jangan mengungkit-ungkit segala kebaikan yang pernah kita lakukan
4. Pandang orang yang lebih tinggi soal akhiratnya terutama orang yang alim dan berilmu
5. Pandang orang yang kurang dari sudut keduniaannya. Cth: Fakir miskin
Wallahuaklam.. Wassalam.
Tuesday, January 26, 2010
Jawatan Kosong: Jom APPLY...

KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.
EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.
TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.
LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).
KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet. Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit. Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul. Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.
ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?
CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.
TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:
Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini: Sabda Rasulullah S.A.W:
Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk.
Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang.
Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".
Siapa Orang Yang ...........
Siapakah orang yang manis senyumanya? Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.
Siapakah orang yang kaya? Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
Siapakah orang yang miskin? Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.
Siapakah orang yang rugi? Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...
Tuesday, January 19, 2010
5 Perkara Elok Di Sebut-sebut
Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu: -
1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat.Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi).Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.
5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain.
Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.
Demikian tazkirah minggu ini. Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...
Monday, January 18, 2010
Ayat al-Quran Bukan Sekadar Hiasan Dinding
Syeikh Ibnu 'Utsaimin memperingatkan dua perkara berkaitan al-Quran iaitu jika menganggap menggantungkan ayat al-Quran termasuk dalam ibadah, perbuatan itu tidak pernah dilakukan sabahat dan pengikut mereka.
Atau jika menggantungkan ayat itu dengan niat mengelak keburukan, ia bukan perantara untuk mengelak keburukan tetapi membaca ayat suci al-Quran dapat membantu daripada gangguan serta mengelak keburukan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi pada malam hari maka sentiasa dia akan mendapat penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan mendekatinya sampai pagi hari." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan An Nasai) .
Sesungguhnya cara mencari keberkatan dengan al-Quran adalah membacanya mengikut hukum, melafazkan dengan lisan, mengimani apa yang disampaikan dalam hati dan mengamalkan dengan anggota tubuhnya.
Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barang siapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah, ayat 121)
Friday, January 15, 2010
Sepulah Perkara Pembatal Keislaman Anda..
Penulis: Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Al-Wash
Salah seorang ulama Ahlus Sunnah dari negeri Yaman, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Al-Washabi, menulis dalam kitab beliau yang ringkas "Al-Qaulul Mufid fi Adillati At-Tauhid," sepuluh sebab yang menyebabkan batalnya keislaman seseorang. Tidak seperti batalnya jenis-jenis ibadah lain di dalam Islam yang tidak mengeluarkan seseorang dari agama, batalnya keislaman berakibat fatal kepada pelakunya di dunia dan di akhirat.Sepuluh Pembatal Keislaman itu ialah:
1. Syirik
2. Murtad
3. Tidak mengkafirkan orang kafir
4. Meyakini kebenaran hukum thaghut
5. Membenci sunnah Rasul, meskipun
diamalkan
6. Mengolok-ngolok agama
7. Sihir
8. Menolong orang kafir untuk memerangi
kaum muslimin
9. Meyakini bolehnya keluar dari syariat Allah
10.Tidak mau mempelajari dan mengamalkan
agama
Thursday, January 14, 2010
GERHANA MATAHARI / BULAN

Gerhana bulan atau matahari adalah salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan untuk mengingatkan hamba-Nya mengenai besarnya nikmat cahaya kepada seluruh umat manusia.
Ia mengingatkan manusia bahawa Allah SWT berkuasa melakukan sesuatu ke atas alam maya ini mengikut kehendak-Nya.
Selain itu ia bertujuan menginsafkan manusia terhadap dosa yang dilakukan oleh mereka. Dengan itu mereka perlu tunduk dan sujud mengadap pencipta serta berdoa agar sentiasa mendapat cahaya dan dijauhkan malapetaka daripada-Nya.
Hukum solat gerhana ialah sunat mengikut ulama. Begitu juga sunat berjemaah mengikut Imam Syafie, Ahmad dan jumhur ulama. Wujud juga perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai kelakuan solat gerhana dan bilangan rukuknya.
Pendapat yang kuat di dalam Mazhab Syafie ialah dua rakaat dan dua kali rukuk pada setiap rakaat. Begitu juga wujud perbezaan mengenai bacaan kuat oleh Imam (jahr) dan perlahan (sir).
Pernah berlaku gerhana pada zaman hayat Baginda SAW dan Baginda bersolat jemaah bersama para sahabat. Saidatina Aishah menceritakan bahawa Baginda SAW memanjangkan bacaannya selepas takbiratul ihram dengan membaca surah al-Baqarah, memanjangkan rukuk pada masa yang hampir sama beliau berdiri tadi dan bangun semula serta membaca al-Fatihah dan surah al-Imran kemudian Baginda rukuk lagi (jumlah rukuk 2 kali) dengan masa yang panjang dan bangun semula serta sujud (2 kali).
Begitulah dilakukan Baginda pada rakaat kedua sehingga akhirnya dengan membaca tahiyyat dan salam. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim)
Berpandukan hadis ini, Imam Syafie, Ahmad dan Ishaq bersepakat merumuskan bahawa solat gerhana mempunyai dua kali rukuk pada rakaat pertama dan dua sujud. Begitu juga pada rakaat kedua. Ia dilakukan dalam jangka masa lebih panjang daripada biasa pada bacaan dan kelakuan seperti rukuk dan sujud.
Jika sekiranya masuk waktu solat fardu seperti Zuhur atau Asar dan sebagainya, Imam Syafie di dalam kitab Al-Um berpendapat lebih baik melakukan solat gerhana dulu kerana waktu gerhana biasanya terlalu singkat kemudian barulah solat fardu dan membaca khutbah selepasnya.
Jika waktu gerhana dijangka berpanjangan dan memungkinkan solat fardu terlebih dulu, maka bolehlah kita menunaikan solat fardu. Sekiranya berlaku pada hari Jumaat, maka didahului solat gerhana dengan memendekkan semua bacaan dan rukun-rukunya.
Sunat juga diceritakan mengenai gerhana pada teks khutbah Jumaat pada hari itu. Jika ada jenazah yang perlu disembahyangkan, maka didahului sembahyang jenazah. Begitu juga jika bertepatan solat hari raya. Maka didahulukan solat hari raya.
Pernah dilakukan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW mengangkat takbiratul ihram dengan niat sembahyang gerhana dua rakaat. Selepas takbiratul ihram, baginda membaca fatihah dan surah serta dan rukuk dan tasbih seperti biasa kemudian baginda bangkit semula membaca fatihah dan surah.
Kemudian Baginda rukuk yang ketiga barulah baginda sujud dua kali seperti solat biasa. Begitulah seterusnya dilakukan Baginda pada rakaat kedua sehingga diakhiri dengan salam. (Hadis riwayat Tirmizi).
Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi dengan e-mel, zaman@nstp.com.my
