Monday, December 28, 2009

JADUAL GAJI BULANAN 2010 BAGI KAKI TANGAN KERAJAAN

Jadual Pembayaran Gaji Bulanan Bagi Tahun 2010

Januari
25.01.2010 - Isnin

Februari
08.02.2010 - Isnin (Tahun Baru Cina 14 & 15.02.2010)

Mac
25.03.2010 - Khamis

April
22.04.2010 - Khamis

Mei
24.05.2010 - Isnin (Pesta Menuai 30 & 31.05.2010)

Jun
24.06.2010 - Khamis* (Hari Gawai 01 & 02.06.2010)

Julai
22.07.2010 - Khamis

Ogos
25.08.2010 - Rabu

September
23.09.2010 - Khamis (Hari Raya 10 & 11.09.2010)*

Oktober
25.10.2010 - Isnin

November
10.11.2010 - Rabu (Hari Raya Haji 17 & 18.11.2010)

Disember
20.12.2010 - Isnin (Hari Krismas 25.12.2010)


* Gaji bagi Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai tidak dibayar awal kerana perayaan ini jatuh sebelum 11 haribulan pada bulan berkenaan.

Sumber daripada Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bil.6 Tahun 2009

Tajdid Iman: Muhasabah diri sebelum tahun baru

Disiplin, amal ibadat, zikir bantu ummah perangi cengkaman hawa nafsu...

MENDEKATI detik terakhir penghujung tahun ini, sememangnya agak gementar mengimbas kembali catatan kealpaan diri sepanjang tahun. Orang mukmin yang jujur suka mengorek rahsia hatinya dengan mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung. Mereka merumuskan makna kejayaan dan peningkatan pencapaian sebenar bagi setiap tahun dalam kehidupan mengikut kacamata agama.


Sesungguhnya peningkatan agama bergantung dengan ibadat, peningkatan harta kerana pandai merancang dan berjimat, peningkatan ilmu kerana mengkaji, peningkatan akhlak kerana lemah lembut dan mengawal emosi, peningkatan dalam hubungan sesama manusia kerana membuang sifat sombong dan riak, peningkatan kesabaran hati kerana banyaknya musibah, peningkatan kualiti diri kerana disiplin yang kuat.

Kelemahan diri pula menjadi agenda yang paling penting untuk diinsafi setiap masa, misalnya ketika kita kekurangan harta akibat nafsu membeli-belah yang tinggi dan tidak pandai merancang. Sewaktu ditimpa surutnya cahaya di hati kerana malas beribadah dan meninggalkan ilmu. Kerasnya jiwa kerana jauh dari al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Berkurangnya kawan dan renggang ikatan persaudaraan kerana suka menambah musuh, takbur, menunjuk-nunjuk dan berdengki. Bertambahnya penyakit kerana banyak makan, malas, berehat dan berhibur secara berlebihan. Berkurangnya umur dan sedikitnya bekalan ke akhirat juga menunjukkan betapa ruginya manusia sepanjang tahun ini.


Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, kerana Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk sentiasa mengakui kelemahan diri melalui firman Allah yang bermaksud: "Orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa." (Surah al-Najm: 32)


Jangan sesekali menganggap diri sudah berjaya sebelum benar kepastiannya mengenai pintu syurga atau neraka yang akan dimasuki. Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia, banyak kemungkinan akan terjadi. Berubahnya hati dan turun naiknya iman, pasang surutnya amalan dan bertambah atau berkurangnya dosa dan pahala. Hakikatnya ramai yang menjadi tawanan hawa nafsu dan sedikit saja orang yang selamat. Layakkah kita menjadi golongan yang sedikit itu?


Suatu hari Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menziarahi gurunya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang sedang dipenjara dan difitnah musuh-musuhnya. Melihat keadaan gurunya itu beliau pun menangis. Ibnu Taimiyah berkata: "Apakah kamu menangis melihat keadaanku? Demi Allah, wahai anakku, aku bukan seorang tawanan. Sesungguhnya orang yang menjadi tawanan itu sebenarnya adalah orang yang menahan hatinya dari ikatan Tuhannya membiarkan hawa nafsunya menawannya."


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Terangkanlah kepadaku akan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya." (Surah Al-Furqan: 43)


Mulakan muhasabah ini dengan melihat sejauh mana kekuatan hawa nafsu mempengaruhi diri. Betapa hebatnya cengkaman hawa nafsu terhadap jiwa raga kita sehingga kedudukannya boleh jadi setaraf dengan Tuhan dalam pandangan manusia yang lalai. Bahkan Baginda pernah memberi nasihat kepada seorang sahabat supaya berwaspada dengan jerat nafsu.


Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah, mintalah kepadaku". Aku berkata: "Wahai Rasulullah biar aku fikirkan sebentar. Lalu aku mengingat-ingat dunia serta kefanaannya sehingga aku berkata: "Aku tidak akan meminta kecuali akhirat. Kemudian aku mendatangi Baginda SAW dan berkata: "Aku meminta supaya aku boleh menemanimu di syurga. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah adakah yang selain dari itu? Aku menjawab: Itu saja. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi: Berjanjilah untuk kamu mengendalikan hawa nafsumu dan banyakkan sujud (nescaya kamu akan menemaniku di syurga)." (Muslim)


Hawa nafsu boleh dilemahkan jika manusia berdisiplin memeranginya. Satu kata kunci untuk kejayaan adalah disiplin. Ia wujud dalam sistem ibadat kita, solat lima waktu dan solat sunat, puasa, haji, zakat dan sedekah. Zikrullah dengan terang ataupun tersembunyi, memelihara al-Quran sentiasa hidup di dalam hati dan melaksanakan sunnah Rasul adalah disiplin. Mengisi masa dengan amal, menguasai dunia demi akhirat memerlukan disiplin yang tinggi.


Ibnu Al-Qayyim pernah berkata: "Wahai orang yang lemah semangat! Sesungguhnya di atas jalan ini Nuh menjadi tua, Yahya dibunuh, Zakaria digergaji, Muhammad diseksa dan anda pula inginkan Islam datang dengan mudah di bawah kakimu?"


Selepas meneliti kuasa hawa nafsu dalam diri dan mengakui cengkamannya yang melemahkan amal salih maka langkah yang kedua ialah menentukan azam baru untuk memerangi, merancang jalan mana yang mahu ditempuhi, lebih tajam membuat siasat perang dan berwaspada dengan muslihat musuh setiap saat.


Musuh manusia yang paling licik berada di sekelilingnya. Ia tidak memilih apakah orang itu alim atau jahil, ahli ibadat atau ahli maksiat, mukmin atau kafir. Syaitan tetap syaitan, semua orang dipengaruhi syaitan masing-masing. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu mengalir di dalam tubuh anak Adam laksana mengalirnya darah dan sesungguhnya aku bimbang dia akan menimbulkan di dalam hati kamu sesuatu yang jahat." (Al-Bukhari dan Muslim)


Setiap konflik yang muncul dalam pergaulan manusia kerana dengki, dendam dan sombong, perselisihan suami dan isteri, terputusnya ikatan sanak saudara, anak menderhaka, orang tua tidak amanah, orang kaya tamak, pemimpin zalim serta lalai dan kufurnya manusia terhadap Allah SWT, semua itu berpunca daripada hasutan syaitan akibat diri menjadi tawanan nafsu.


Orang mukmin sentiasa mengingati diri mereka supaya berlindung dari gangguan syaitan, mengenali bahawa kejahatannya itu adalah hasil kerja syaitan dan cepat-cepat kembali bertaubat dan berwaspada supaya tidak tertipu lagi dengan kenikmatan yang dijanjikan syaitan. Oleh kerana sifat dosa adalah nikmat sesaat manakala pahala pula bersifat susah, perit dan seksaan maka ramailah yang kecundang dalam memilih.


Tetapi bagi orang mukmin, seksaan melawan hawa nafsu dan syaitan itu sedikit demi sedikit berubah menjadi nikmat jiwa yang paling bernilai yang tidak pernah dirasai orang fasik lagi lalai. Nikmatnya seakan-akan di dalam syurga walaupun mereka masih berada di dunia lagi.


Ibnu Taimiyah berkata: "Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, sesiapa yang belum masuk ke dalamnya dia tidak boleh masuk syurga akhirat. Murid-muridnya bertanya: "Apakah syurga dunia itu? Beliau berkata: "Syurga mengenal Allah, mencintai-Nya, merindu dan berlemah-lembut kepada-Nya."


Penulis ialah Mufti Perlis

Tuesday, December 22, 2009

Infak jamin kebajikan golongan daif, jana ekonomi umat Islam

Oleh Penulis Khas YaPEIM

MENGELUARKAN sumbangan atau infak untuk kebajikan sebenarnya mempunyai kedudukan penting dalam sistem ekonomi Islam. Istilah infak ini termasuk zakat, sedekah dan segala perbelanjaan untuk kebajikan merangkumi sedekah jariah dan wakaf.


Amal jariah yang dipopularkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang diperkenalkan semula pada pertengahan tahun 1980-an turut menggabungkan dua ibadat iaitu amal soleh dan sedekah jariah.


Dalam konteks Islam, keupayaan melaksanakan ibadat yang dianjurkan ini mempunyai kaitan jelas dengan tahap keimanan kepada Allah. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, “Kitab al-Quran itu tiada padanya sebarang keraguan. Ia memberi hidayah kepada orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang dikurniakan kepada mereka.” (al-Baqarah: 2-3)


Dalam konteks kita melakukan amal kebajikan, konsep kebaktian wajar menjadi panduan dan rujukan. Kebajikan bukan saja merujuk kepada hala tuju sewaktu melakukan ibadat semata, tetapi kebajikan atau kebaktian sebenar ialah keseimbangan hubungan langsung dengan Allah dan terhadap sesama makhluk khususnya manusia.


Allah SWT berfirman, “Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke arah timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, malaikat, kitab, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar di dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa.” (Al-Baqarah: 177)


Jelas ia menunjukkan kepada kita bahawa amal jariah adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada maksud kebajikan atau kebaktian. Malah, dari sudut sejarah ia menjadi sebahagian budaya hidup sejak zaman Rasulullah SAW.


Ada sahabat utama Baginda SAW yang sanggup mengeluarkan sebahagian harta kesayangan mereka, malah terdapat juga yang menginfak hampir keseluruhan harta yang dimilikinya atas asas keimanan kepada Allah SWT dan Rasulnya.


Pengalaman Abdul Rahman bin Auf umpamanya, wajar menjadi rangsangan kepada kita. Pada masa hijrahnya, semua harta kekayaan dan kesayangannya ditinggalkan di Makkah.


Bagaimanapun, berasaskan pendirian tegas dalam meneruskan kehidupannya, beliau tidak mudah menerima tawaran pemberian percuma sebahagian daripada harta kekayaan dan kesayangan saudaranya dari kumpulan Ansar, Sa’ad bin Rabi’.


Sebaliknya, apa yang diperlukan beliau ialah meminta ditunjukkan di mana pasar untuk beliau memulakan perniagaannya. Diriwayatkan, beliau pernah membiayai keperluan peperangan dengan menyediakan masing-masing 500 kuda tempur serba lengkap dan 500 ekor unta untuk membawa konvoi bekalan.


Demikianlah satu daripada contoh sahabat yang gigih dalam usahanya dan banyak sekali amal kebajikan dilakukan khususnya dalam konteks mengeluarkan harta kepada jalan Allah. Allah terus memberi kemurahan rezeki dan memberkati harta Abdul Rahman bin Auf kerana sikap dermawan.


Kita menyaksikan hingga ke abad mutakhir ini, masih terdapat mereka yang bersedia dan sanggup mengeluarkan harta pada jalan kebajikan dan manfaatnya daripada amalan ini juga adalah besar serta berpanjangan.


Kewujudan institusi pendidikan penting seperti Universiti Al-Azhar Mesir adalah contoh terpilih betapa amalan baik dan murni masih menjadi budaya kepada sebahagian daripada masyarakat Islam yang benar-benar meyakini bahawa amal jariah adalah suatu saluran menyempurnakan tanggungjawab sosial.


Di negara kita, amalan bersedekah atau beramal jariah dipraktikkan secara meluas. Terdapat banyak sekali institusi ibadat, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah, walaupun peruntukan yang disediakan kerajaan adalah besar. Keadaan ini membuktikan bahawa budaya beramal jariah bukanlah sesuatu yang baru dan asing kepada masyarakat kita.


Hikmah infak adalah:


l Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh, melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional serta disokong semua lapisan masyarakat berasaskan tahap keupayaan masing-masing, boleh mewujudkan satu bentuk kekuatan yang hebat dan mampu mewujudkan sebuah dana besar yang berperanan dalam membangun sosio ekonomi masyarakat.


l Pelaksanaan program amal jariah berasaskan tafsiran luas memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian daripada permasalahan masyarakat. Program sedemikian juga mempamerkan keindahan Islam yang sebenar, sekali gus menjadi media dakwah berkesan kepada masyarakat bukan Islam.

Monday, December 21, 2009

Salam Ukhwah buat semua, dikesempatan ini saya ingin mengucapakan Selamat Tahun Baru Hijri 1431 H. Khususnya kepada semua kenalan dan kerabat yang mengenali. Semoga Tahun Baru ini akan bertambah kebaikan dan kejayaan kita semua.... Amin.. Ws.

Wednesday, December 2, 2009

Manusia Sentiasa Dikepung Syaitan


"Aku datangi mereka, dari hadapan mereka, dan dari kanan mereka, serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".


SYAITAN telah berjanji akan memperdayakan manusia dari depan, belakang, kiri dan kanan.Ini dinyatakan dengan jelas dalam surah Al A'raf: 16 yang bermaksud, iblis berkata:


"Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan MU yang lurus.Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dan dari kanan mereka, serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."


Begitu juga dalam peristiwa Israk Mikraj, dalam perjalanan Israk Mikraj, Nabi Muhammad dipanggil beberapa kali.Dikatakan panggilan ini di buat oleh syaitan.


Ini memberi kita peringatan bahawa halangan sentiasa ada apabila berada dijalan yang lurus.

Monday, November 23, 2009

Peristiwa Penting 10 Muharram...


10 Muharram? . Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa banyak sangat perkara yang sunat dilakukan pada 10 Muharram? Apa berlaku tarikh tu, keramat jer bunyinya?

Haa, inilah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada tarikh tersebut:

  1. Nabi Adam a.s. bertaubat kepada Allah;
  2. Nabi Idris a.s. diangkat oleh Allah ke langit;
  3. Nabi Nuh a.s. diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelami air bah selama 6 bulan;
  4. Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan oleh Allah dari pembakaran Raja Namrud;
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.;
  6. Nabi Yusof a.s. dibebaskan dari penjara;
  7. Penglihatan Nabi Yaakob a.s. yang kabur dipulihkan oleh Allah;
  8. Nabi Ayub a.s. dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritanya;
  9. Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam;
  10. Laut Merah terbelah dua untuk selamatkan Nabi Musa a.s. dan pengikut-pengikutnya dari tentera Fir’aun;
  11. Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah;
  12. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan kerajaan besar oleh Allah;
  13. Nabi Isa a.s. diangkat ke langit;
  14. Hari pertama Allah ciptakan alam;
  15. Hari pertama Allah turunkan hujan;
  16. Hari pertama Allah turunkan rahmat;
  17. Allah jadikan Arasy;
  18. Allah jadikan Luh Mahfuz; dan
  19. Allah jadikan malaikat Jibril.

Haa, sebab tu lah hari 10 Muharram ni besar. Banyak sangat peristiwa yang berlaku di tarikh tu.

Sekian dimaklumkan (untuk dikongsi bersama), wallahu a’lam.

Uzaini At-Tampini..

5A dan 5E


Tahniah kepada Anak-anak Muridku yang telah berjaya UPSR di SK Air Kuning Selatan Gemencheh baru-baru ini...

Tahniah kepada 48, 171 pelajar sekolah rendah berjaya meraih keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah . Pelajar gembira, ibu ayah tumpang ceria begitu juga para guru.

Manakala lebih 3,000 pelajar mendapat keputusan 5E, usah bersugul. Peringatan sama juga disasarkan kepada guru dan ibu bapa mereka. Saya percaya pelajar terbabit bukan dungu. Keluarga dan guru perlu menilai semula faktor penyebab mereka mendapat keputusan sebegitu.

Hakikatnya, segelintir pelajar pada usia 12 tahun masih tidak mengerti kepentingan ilmu lantas kurang berminat semasa belajar di dalam kelas. Kadangkala, segelintir guru pula samada secara sedar atau tidak menganaktirikan kelompok sama. Maksudnya guru lebih cenderung memberikan tumpuan membimbing pelajar lebih cemerlang. Bukan menuduh tetapi senario itu mungkin kerap berlaku sebelum ini, kini dan di masa akan datang.

Pelajar sama juga barangkali tidak berpeluang mendapatkan latihan tambahan berbanding rakan lain. Banyak faktor penyebab, antaranya sikap ibu bapa tidak ambil pusing berhubung prestasi pelajaran anak mereka di rumah. Perhatikan, majoriti ibu bapa berkemampuan menghantar anak ke kelas tuition. Sebahagian lagi tidak, berikutan kekangan ekonomi biarpun mereka juga berhasrat melihat anak lebih berjaya.

Kejayaan dan kegagalan pelajar dalam bidang pendidikan dilihat berhubungkait rapat dengan sikap guru dan keluarga. Jika pelajar mencatat keputusan cemerlang, sebahagian daripada kejayaan dicapai hasil titik peluh usaha gigih guru dan keluarga. Jika sebaliknya berlaku, sebahagian daripada kegagalan harus ditanggung dan dikongsi kumpulan sama.

Apapun semua harus sedar, keputusan 5A atau 5E bukan faktor penentu mutlak kejayaan atau kegagalan kehidupan anak-anak di masa hadapan. Mereka masih berpeluang memperbetulkan keadaan. Kebanyakkan mereka akan melangkah ke sekolah menengah dan berpeluang meimba ilmu di universiti. Bagi pelajar mendapat keputusan kurang memberansangkan, jika disuntik semangat dan disokong usaha kental membimbing mereka, InsyaAllah kejayaan diburu akan menjadi kenyataan. Kepada pelajar mendapat keputusan 5A, usah cuai, ramai pelajar kita cemerlang dari aspek keputusan peperiksaan sebelum ini tetapi kemudian hancur kehidupan sewaktu dewasa akibat gagal mendepani pelbagai cabaran secara sempurna.

Ketika itu guru, ibu dan ayah sudah tiada untuk memimpin tangan mereka.