Monday, May 12, 2008

Kahwin Penyubur Rezeki


FITRAH kehidupan, daripada alam tumbuhan dan haiwan, malah manusia sejak zaman Nabi Adam, diciptakan berpasangan, ada lelaki dan perempuan supaya dapat mengembangkan zuriat bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Manusia sebagai pentadbir atau khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini perlu mengembangkan keturunan, justeru mereka dikurniakan kecenderungan berkahwin dan beranak-pinak.

Hidup berpasangan melalui perkahwinan bukan menjadi amalan bagi sesetengah masyarakat tetapi semuanya menerima pakai sistem itu tanpa mengira pangkat, suku kaum dan agama. Cuma yang membezakan adalah caranya.


Tetapi dalam dunia siber hari ini, ada lebih selesa hidup bersendirian sama ada lelaki atau perempuan tanpa mahu memikirkan soal perkahwinan.

Bagi golongan ini, gaya hidup bujang lebih selesa dan menjamin masa depan. Mereka bebas bergerak, tiada halangan ke mana-mana dan terlepas daripada tanggungjawab sebagai suami atau isteri.

Bagi sesetengah perempuan, perkahwinan dikatakan mendatangkan kesusahan apatah lagi memikirkan jika mendapat suami yang panas baran, kaki judi, pemabuk atau penagih dadah.

Cerita negatif yang didengar dan disaksikan melalui filem dan drama menyebabkan mereka lebih suka gaya hidup bujang, malah ada yang tidak berminat mendapatkan pasangan hidup. Tetapi apa kata Islam?

“Pada dasarnya Islam mahu umatnya berkahwin. Walaupun perintah kahwin yang diturunkan Allah asalnya harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib dan sunat.

“Malah, ia juga boleh menjadi makruh dan haram ,” kata penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar.

Menurutnya, agama menghukumkan wajib berkahwin sama ada lelaki atau perempuan apabila seseorang itu tidak mampu mengawal diri daripada fitnah berpunca dari mata, hati dan nafsu syahwat.

Hukum sunat kepada individu yang masih dapat mengawal diri, manakala makruh adalah ke atas mereka yang belum bersedia menghadapi gerbang perkahwinan.

Keharusan berkahwin boleh menjadi haram jika individu terbabit menghidap penyakit tertentu seperti HIV dan siflis, kerana memberi risiko kepada zuriat dan isteri.

Mohd Rani berkata, mereka yang tergolong wajib atau sunat berkahwin perlu menyegerakan perkahwinan kerana jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya kemungkaran dan berdosa.

“Jika jatuh hukum wajib atau sunat kena berkahwinlah. Tidak berkahwin akan menyebabkan dosa kerana walaupun tidak berzina tetapi mata yang tidak boleh dikawal sudah mendapat dosa,” katanya.

Beliau berkata, apabila seseorang itu boleh hidup berdikari, tamat persekolahan dan tahu memikul tanggungjawab, mereka patut berumah tangga.

Tetapi, bagi mereka yang masih belajar di kolej atau institusi pengajian tinggi, tumpukan perhatian kepada ilmu.

“Masalah sekarang, sesetengah orang berfikir perkahwinan itu menyusahkan dan satu masalah. Bagi golongan ini, mereka tidak yakin dengan rezeki daripada Allah.

“Zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu pun ada yang tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan tumpuan kepada ibadat tetapi, Nabi melarang dan mengatakan kepada orang terbabit,“aku beribadat dan aku juga berkahwin”.

“Nabi menggalakkan umatnya berkahwin kerana dapat mengembangkan zuriat, malah baginda akan berbangga dengan umat yang ramai.

“Berkahwin bukan alasan menjadi susah sebaliknya rezeki lebih murah.

“Banyak contoh orang lama yang berjaya hidup mereka walaupun peringkat awalnya susah. Jika tidak berkahwin lagi menyusahkan, bermacam-macam akibat di depan,” katanya.

Menurutnya, Islam agama terbaik, tiada halangan dalam soal perkahwinan seperti sesetengah ideologi lain yang melarang penganutnya berkahwin.

Justeru, beliau menasihatkan orang Islam khususnya muda-mudi memanfaatkan kelapangan dan keistimewaan yang diberikan di dalam Islam ini.

Banyak kebaikan diperoleh melalui perkahwinan. Selain mengembangkan keturunan, memelihara kesucian diri, memelihara pandangan dan kemaluan, paling penting memberikan ketenangan, kelapangan dan hidup dihiasi kemesraan.

Ini sebagaimana dijelaskan dalam ayat 189, surah al-A'raf, bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripadanya pasangannya (isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra. Ketika dicampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Maka ketika ia rasa berat berdoalah kedua-duanya kepada Tuhan: Sesungguhnya jika Engkau kurniakan kami anak yang baik, tentulah kami menjadi dari orang yang bersyukur.”


Sunday, May 11, 2008

Tiada manusia terlepas daripada iblis


IBLIS juga makhluk, cuma ia dicipta daripada api, lebih awal daripada manusia.

Disebabkan dengkinya dan berasa diri lebih mulia, ia tidak mahu mematuhi perintah Tuhan supaya memberikan peng hormatan kepada Nabi Adam.


Disebabkan sikapnya yang begitu bongkak sehingga meng ingkari perintah Tuhan, ia menjadi hamba yang kafir dan disediakan kepadanya neraka yang tidak terperi azabnya.

Ia menerima ketentuan itu walaupun mengetahui akan dimasukkan ke dalam neraka.

Justeru, ia mencari teman daripada keturunan Adam iaitu manusia dengan meminta dua perkara daripada Allah: agar diberikan usia yang panjang iaitu tidak mati sehingga Hari Kiamat dan dibolehkan menggoda semua manusia sepanjang masa.

Perkara ini ada diceritakan dalam al-Quran. “Setelah selesai kejadian Adam, maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali. Melainkan Iblis. Ia enggan turut bersama mereka yang sujud. Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, berasal dari tanah lumpur yang berbentuk.”

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarkanlah engkau daripadanya kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah terkutuk.

“Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat.”

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan.”

Allah berfirman: “Maka sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari masa yang termaklum.”

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah me nyesatkan aku, maka sungguh aku akan perhiaskan kejahatan kepada manusia di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-Mu yang yang ikhlas di antara mereka.”

Allah berfirman: “Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-Ku, tidaklah ada bagimu kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang yang sesat.” (al-Hijr:30-42)

Iblis pandai memujuk rayu untuk menyesatkan manusia, datang pada setiap waktu dari pelbagai penjuru, malah dapat memasuki badan manusia, sehingga berjalan di dalamnya seperti mengalirnya darah, bersembunyi dalam hati dan tinggal dalam akal manusia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya: “Sesung guhnya syaitan (iblis) berjalan pada manusia di pembuluh darah (semua yang boleh dilalui darah).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila ia di hati, manusia akan menjadi was-was dan khuatir tidak menentu dalam perkara kebaikan, malah mem benci kebaikan dan gemar kepada yang salah.

Jika ia bersarang di akal, manusia asyik memikirkan ke untungan peribadi sahaja, tanpa mempedulikan hak dan kebajikan orang lain.

Demikian juga jika ia bertempat dalam badan atau anggota badan manusia, membuatkan manusia lebih suka kepada kemungkaran, benci kepada ketaatan, gemar kepada perkara yang bertentangan dengan kebenaran.

Semua manusia termasuk rasul, nabi, ilmuan dan cen dekiawan didatangi iblis, dirayu dan mahu disesatkan se boleh-bolehnya. Nabi Adam dapat dirayu oleh iblis hingga membuatkannya terkeluar dari taman keindahan.

Iblis juga memujuk rayu putera Nabi Adam, Qabil sehingga beliau membunuh saudaranya Habil. Hati Zulaikha juga dimasuki iblis hingga merayu Nabi Yusuf.

Qarun yang kaya-raya juga tewas dengan pujuk rayu iblis hingga membuatkan beliau berasa sombong, tidak mahu mentaati perintah Allah sehingga beliau dan kekayaannya ditelan bumi.

Sehingga hari ini apabila terjumpa harta benda di perut bumi, manusia menggelarkannya harta karun sempena nama Qarun.

Tujuan iblis ialah supaya manusia mengikuti jejaknya, tidak mentaati Allah dan melanggar segala perintah-Nya sehingga sama-sama memasuki neraka.

“Dan sesungguhnya neraka jahanam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutmu.” (al-Hijr:43)

Kelicikan iblis dapat mengaburi manusia jika imannya pudar, luntur dan tidak dibajai dengan mengingati Allah. Tetapi mereka yang terpedaya dengan iblis semestinya me nyesal kemudian hari walaupun pada peringkat awal dibuai keseronokan.

Dalam menghadapi orang beribadat misalnya, iblis berusaha menampakkan perbuatan yang baik, malah berpura-pura turut bersolat.

Ia turut sama melakukan rukun dan perkara sunat dalam solat, tetapi lama-kelamaan ia cuba bertenggek di hati orang terbabit.

Tindakan iblis itu menyebabkan orang terbabit berasa was-was terhadap ibadat yang dilakukan, malah disebabkan terpengaruh dengannya sama ada sedar atau tidak, setiap pergerakan rukun dipandang remeh sehingga kadangkala tidak begitu sempurna.

Bagi suami yang rajin beribadat juga iblis tidak lupa membisikkan tipu dayanya supaya hanya beribadat tanpa melakukan pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga, anak dan isteri.

Begitu juga si isteri, dibisikkan supaya sentiasa berasa tidak cukup dengan pemberian suami.

Si miskin ditanamkan iblis rasa kebencian dan iri hati kepada orang berharta sehingga berasa tidak yakin dengan keadilan Allah.

Mereka yang hartawan juga dipengaruhi kononnya semua harta terbabit adalah diri sendiri yang punya, jadi tidak perlu diagihkan kepada fakir miskin.

Pendek kata semua manusia tidak terlepas daripada godaan, pujuk rayu dan pengaruh iblis. Cuma bezanya ialah se setengah mereka yang kuat iman dapat melepasi godaan itu, manakala yang lemah iman terjerumus ke dalam perangkapnya.