Thursday, April 29, 2010

Wahai Ibu.., Wahai Ayah..,Hidupkan Sunnah.

1) Sunnah baginda saw sebagai seorang bapa kepada anak-anak kecil.

i) Mengadakan upacara yang kita kenali sebagai belah mulut.

Ini merupakan sunnah baginda saw yang kita dapati di dalam perilaku baginda saw ketika menyambut kelahiran sepupu baginda saw, iaitu Abdullah ibnu Abbas ra. Baginda mengunyah sebiji kurma sehingga hancur, mengambil sedikit sisa kurma dari gusi baginda saw, dan menyapukannya ke lidah Ibnu Abbas. Ini merupakan cara yang paling bertepatan dengan sunnah baginda saw. Adapun ada sebahagian pendapat yang mengatakan bahawa cara ini hanyalah khusus buat baginda saw, tidak bagi orang-orang yang lain, itu merupakan pendapat yang tidak tepat. Daripada sunnah juga agar dianjurkan bagi kita untuk mencari individu yang ‘alim, diketahui kewibawaannya, berpengatahuan yang mendalam di dalam selok-belok Al-Quran dan Sunnah, kerana ulama’ dan orang-orang ‘alim itu merupakan pewaris ilmu Rasulullah saw. Semakin tinggi seseorang itu beramal dengan sunnah nabi saw, maka doanya akan semakin makbul kerana dirinya lebih hamper kepada Allah swt.

ii) Mendoakan si bayi.

Juga merupakan dari amalan baginda saw, di dalam hadis kelahiran Ibnu Abbas seperti di atas, dan juga di dalam hadis kelahiran anak sahabat dari kalangan wanita, Ummu Kalthum ra. Adapun doa yang dianjurkan untuk dibaca adalah doa yang dibacakan oleh ibu Maryam, yang ada direkodkan di dalam Al-Quran, iaitu “Ya Allah, sesungguhnya aku telah melahirkannya bayi perempuan, dan Engkau lebih mengetahui bahawa ianya perempuan, dan aku menamakannya Maryam, dan aku melindungkannya dengan Engkau, dan juga zuriatnya dari syaitan yang direjam.

iii) Mencukur rambut bayi.

Menurut sunnah baginda saw, hanya terdapat tiga keadaan di mana kita dibenarkan untuk mencukur kepala sehingga botak. Pertama, adalah ketika mengerjakan haji dan umrah. Kedua, andai menghidapi penyakit kepala atau rambut, dan akhir sekali ketika awal kelahiran. Bahagian yang sunnah dicukur adalah seluruh kepala, tidak kira lelaki atau perempuan, bukan sekadar jambul. Manakala rambut yang telah dicukur itu hendaklah ditimbang beratnya. Dengan berat yang sama ianya dinilai dengan harga emas, dan nilai tersebut sunnah untuk disedekahkan kepada orang miskin yang memerlukan.

iv) Aqiqah.

Dimaksudkan dengan aqiqah ialah menyembelih kambing dan dimasak dengan masakan manis, dan dijamu kepada orang ramai. Ada hadis yang menyatakan bahawa dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor untuk anak perempuan. Namun dalam masa yang sama, Rasulullah saw sendiri menyembelih seekor kambing untuk diaqiqahkan sempena kelahiran Hasan dan Husain. Para ulama’ menyimpulkan di dalam menyatukan kedua hadis ini, dengan pandangan bahawa jumlah kambing atau apa-apa binatang ternakan lain yang boleh diaqiqahkan adalah menurut kemampuan, tidak terikat kepada bilangan yang khusus. Ianya adalah untuk meraikan kelahiran bayi yang baru, dengan sekadarnya.

v) Memberikan nama yang baik kepada si bayi.

Ini merupakan salah satu dari tanggungjawab ibubapa kepada anaknya, iaitu memberikan nama yang baik. Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa nama-nama yang baik adalah nama-nama para rasul, dan juga nama seperti Abdullah (hamba Allah) dan Aslam (yang selamat, menyerah diri, atau yang Islam). Selain itu, penulis juga berpandangan bahawa nama-nama para sahabat baginda saw, merupakan nama-nama yang baik untuk diberikan kepada anak-anak, walaupun pada dasarnya nama-nama tersebut tidak mempunyai maksud. Seperti nama Umar, Uthman, Talhah, Hamzah dan sebagainya.

Ini merupakan peringatan dan juga tanggungjawab yang sangat penting, kerana ada di antara kita yang memberikan nama-nama yang terlalu kebaratan, sehingga ada di antara nama-nama tersebut membawa maksud yang tidak elok, tetapi tidak kita ketahui dek kerana ‘bunyinya’ yang sangat dipandang bergaya, seperti Natasha, yang bererti ‘dilahirkan pada hari Krismas’.

Juga antara nama yang patut dielakkan ialah nama-nama yang berada di antara garisan nama yang baik dan nama yang kurang elok, seperti Zana. Dari satu sudut, nama Zana bermaksud perhiasan, namun dari sudut yang lain ianya juga merupakan kata kerja bagi zina.

vi) Membacakan surah-surah Al-Quran kepada anak, sejak dari dalam kandungan.

Kajian demi kajian moden telah membuktikan bahawa anak kecil sudah mula mendengar dan menyimpan memori, sejak dari dalam kandungan ibunya lagi. Beberapa fenomena atau kejadian, seperti si bayi yang mengenali suara ayah dan ibunya, sifat dan karakteristik bayi yang sama dengan karakter dirinya di dalam kandungan, dan juga kebolehan kanak-kanak menunjukkan kembali apa yang telah mereka terima pendedahannya di dalam kandungan telah membuktikan perkara ini. Ini merupakan perkara yang tidak diketahui belasan tahun dahulu. Penulis menganjurkan agar dibacakan surah-surah yang mengandungi kisah-kisah orang-orang yang soleh di dalamnya, seperti surah Luqman, Ibrahim, Muhammad, Nuh, kisah Nabi Musa dan Bani Israil, Al-Kahfi, Maryam, Yusuf dan sebagainya, bukan hanya surah-surah yang sudah selalu kita dengari seperti Yasin. Penulis tidak menjanjikan di sini bahawa surah-surah tersebut mempunyai fadhilat-fadhilat yang khusus kepada bayi, kerana itu merupakan autoriti Allah dan RasulNya. Cuma sahaja bagus jika mereka mula mendengari kisah orang-orang yang salih sejak dari awal lagi.

Itu merupakan beberapa perkara sunnah dan juga yang elok kita amalkan sejak bayi di dalam kandungan ibunya lagi. Adapun bahagian kedua, penulis akan membincangkan beberapa perkara bagi kita menerapkan roh sunnah (initipati dan hikmah) ke dalam diri anak-anak, agar pembelajaran sunnah itu tampak lebih berkesan.

2) Menerapkan roh sunnah ke dalam diri anak-anak.

i) Memperkenalkan diri Rasulullah saw sebagai contoh ikutan, dan menerapkan rasa cinta terhadap baginda saw.

Sesungguhnya agama yang diturunkan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw ini, merupakan agama yang pada amnya terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu 1) Aqidah, 2) Ibadah dan 3) Akhlak. Jikalau kita umpamakan tiga perkara ini seperti sebuah rumah, maka aqidah akan menjadi tapaknya, ibadah menjadi tiang dan dindingnya, dan akhlak akan menjadi atap dan penyeri rumah.

Di dalam perbincangan di atas, kita telah membawakan permasalahan bahawa ramai Muslim yang mula meninggalkan solat, terutamanya apabila sudah jauh dari ibubapa. Begitu juga dengan permasalahan yang lain. Mengapa dari kecil lagi kita sudah diajar solat dan mengaji, tetapi begitu banyak sekali jenayah aqidah yang berlaku? Inilah jawapannya. Jikalau dasar sesebuah rumah itu tidak kukuh, maka segala tiang dan binaannya akan mudah roboh. Begitu juga dengan Islam. Jika aqidahnya tidak kukuh, maka segala amal ibadah dan akhlak akan mudah lenyap.

Ini kerana foundasi bagi ibadah yang ikhlas dan akhlak yang mulia adalah aqidah yang mantap dan kukuh. Ibadah dan akhlak mulia tidak akan terbina tanpa ada rasa takut bahawa ada yang sedang memerhati dan merekodkan segala amal buruk dan baik kita, samada solat ataupun tidak, samada bertudung ataupun tidak. Juga segalanya tidak akan sempurna jika tiada rasa ingin membuat segala perkara yang dilakukan oleh Rasulullah saw, sentiasa merasa rindu dan cinta kepadanya, melebihi cinta kepada sekalian manusia lain termasuk ibubapa. Dan kesemua rasa ini tidak akan lahir di dalam hati, andai kata ilmu dan pengetahuan mengenai Allah dan RasulNya tidak kita miliki, ilmu tentang apa yang Allah suka, apa yang Allah benci, tentang nikmat-nikmat Allah kepada kita sejak dari penurunan Adam ke muka bumi ini, dan juga ilmu tentang peribadi Rasulullah saw, bagaimana baginda saw merupakan contoh terbaik bagi kita. Contoh yang terbaik sebagai seorang bapa, suami, kawan, penunjuk jalan, ketua, seorang raja, seorang hakim, tempat mengadu segala masalah, seorang general di dalam peperangan dan yang paling penting, seorang yang membawa kata-kata Allah dan segala pesananNya dengan tangan kanannya.

Untuk berbuat demikian, dari kecil lagi kita hendaklah menanamkan rasa cinta anak-anak kepada Rasulullah saw, seawall yang mungkin. Apabila Rasulullah saw sudah menjadi idola ikutan mereka, maka mereka akan sentiasa menunaikan segala tuntutan Allah dan RasulNya sepanjang hidup mereka, dengan atau tanpa kehadiran ibubapa mereka.

Di antara cara-cara yang penulis sarankan dalam kita memperkenalkan Nabi Muhammad saw kepada anak-anak sebagai contoh ikutan:

a) Perbanyakkan bercerita tentang kisah hidup baginda saw, terutamanya kisah-kisah yang melibatkan mukjizat baginda saw. Kanak-kanak suka dengan kisah-kisah ajaib, maka penulis merasakan daripada kita bercerita tentang kisah-kisah dongeng, ceritakan kepada mereka kisah-kisah ajaib yang benar-benar terjadi. Seperti mukjizat baginda saw bercakap dengan tunggul kayu, membelah bulan menjadi dua, awan yang sentiasa mengikuti gerak-geri baginda saw, hinggalah kepada mukjizat baginda saw yang terbesar, iaitu Al-Quran. Ceritakan kepada mereka dengan jelas dan bahasa yang mereka fahami, dengan cara yang kanak-kanak suka mendengarnya. Selitkan bahawa Rasulullah saw mempunyai kesemua mukjizat ini, kerana kedudukan baginda saw sebagai kekasih dan utusan Allah, yang mana kita perlu taat dan patuh kepada segala tunjuk ajar baginda saw. Tanpa baginda, mustahil bagi kita mengenali Islam, jauh lagi mengenali siapakah yang menciptakan kita, siapakah yang menurunkan hujan kepada kita, yang mana daripadanya tumbuh pokok-pokok yang menjadi makanan kita, dan juga binatang yang kita memakannya memakan pohon-pohon itu. Dan juga siapakan yang memberikan kita ibubapa kita yang memberikan kita makan dan minum, rumah yang selesa, permainan, membawa kita bersiar-siar dan sebagainya. Kaitkan segala yang disukai anak-anak, dan katakan bahawa semua itu adalah dari Allah, dan Allah mengutuskan kepada kita Muhammad saw untuk mengajarkan kepada kita bagaimana untuk mengucapkan syukur kepada Allah. Katakan juga bahawa orang-orang yang bersyukur itu akan dimasukkan ke dalam syurga, dan ceritakan kepada mereka bagaimana nikmat di syurga, dan akhirnya kaitkan kembali bahawa segala kisah nikmat di syurga itu, diceritakan kepada kita oleh Rasulullah saw.

Penulis juga menyarankan agar kita menceritakan kepada mereka sudut kehidupan Rasulullah saw yang berlainan, agar mereka akan mendapat mesej bahawa kejayaan Rasulullah saw dan keistimewaan baginda sebagai seorang Rasul meliputi segala aspek kehidupan.

b) Menerapkan amalan-amalan sunnah yang selama ini kita pandang sebagai ‘ringan’ dan tidak berapa perlu diberi perhatian ke dalam diri anak-anak. Ini kerana sunnah-sunnah inilah yang sebenarnya memberikan garis panduan kepada kita tentang kehidupan harian seorang Muslim yang sejati. Sunnah yang penulis maksudkan ialah seperti doa masuk tandas, doa keluar tandas, doa sesudah makan, zikir munajat setelah solat, doa keluar rumah, doa masuk rumah, doa menaiki kenderaan, doa melihat cermin dan sebagainya. Ajarkan kepada mereka maksud-maksud doa ini di dalam bahasa melayu yang dapat mereka fahami dengan mudah. Malahan penulis merasakan pada peringkat awal pengajaran, adalah lebih baik kita ajarkan kepada mereka doa di dalam bahasa melayu, kerana ini akan memudahkan kefahaman mereka, dan juga sedikit demi sedikit menambahkan penghayatan, rasa cinta dan menetapkan jiwa mereka dengan kukuh di atas sunnah Rasulullah saw, disebabkan maksud doa-doa ini yang penuh dengan kesyukuran dan pujian kepada Allah swt. Juga dari amalan sunnah yag ringan tetapi penting untuk diamalkan, seperti makan dan minum dengan tangan kanan, minum teguk demi teguk, mengunyah makanan sehingga hancur sebelum menelannya dan sebagainya.

c) Menyandarkan setiap amal ibadah yang kita lakukan seharian, adalah menurut cara yang diajarkan oleh Rasulullah saw. Cara kita solat iaitu sujudnya, rukuknya, berdirinya, meletakkan tangan di dada, dan juga cara kita berpuasa iaitu tempoh puasanya, cara kita membacakan doa, adab kita berdoa kepada Allah, sandarkan semuanya kepada ajaran Rasulullah saw. Terapkan kepada mereka, bahawa tanpa Muhammad saw, kita tidak akan tahu bagaimana cara untuk solat, kita tidak akan tahu tempoh kita berpuasa, kita tidak akan tahu cara menyembelih lembu pada hari raya korban dan seterusnya. Dengan begitu mereka akan mendapat mesej bahawa Muhammad saw itu adalah contoh ikutan mereka, samada di dalam cara hidup, di dalam akhlak peribadi yang mulia dan pengasih, dan juga di dalam segala amal ibadah. Dari pendedahan-pendedahan sebeginilah, rasa kagum, cinta dan sayang mereka terhadap Muhammad saw akan mula tersemai dan terus mekar.

ii) Memperbetulkan sikap dan tanggapan kita tentang tanggungjawab kita terhadap Al-Quran.

Sesungguhnya, penulis memandang bahawa antara perkara yang perlu kita berikan perhatian ialah sikap dan tanggapan kita terhadap Al-Quran. Teringat penulis semasa kecil dahulu, ketika salah seorang dari saudara penulis sedang membuat persiapan untuk berkahwin. Ujar ibunya, “Ambillah Quran tu, khatamkan sebelum kahwin”. Sejak dari situ, penulis selalu memerhatikan bahawa penekanan kita selama ini terhadap anak muda kita, adalah kita wajib tahu untuk membaca Al-Quran. Dengan membaca Al-Quran, jiwa akan jadi tenang, dan kita akan selamat seumur hidup kita dari sebarang bahaya dan ancaman aqidah. Benarkah begitu? Bagaimana dengan mukjizat kehebatan Al-Quran yang selalu kita berbangga dengannya? Adakah kita tidak perlu memahami Al-Quran, cukup sekadar membaca sahaja, maka kita akan mendapat hidayah?

Sesungguhnya kewajipan kita terhadap Al-Quran adalah lima, iaitu beriman dengannya, membacanya, memahaminya, beramal dengan kefahaman yang diperolehi, dan akhir sekali menyebarkannya. Dengan memahami Al-Quran, barulah ‘roh’ dan intipati Al-Quran itu dapat kita hayati, dan merasai kemanisan mukjizatnya. Banyak sekali contoh-contoh ayat Al-Quran, yang mana jikalau kita menterjemahkannya kepada bahasa melayu sekalipun, maksud dan kedalaman asal penggunaan perkataan di dalam ayat tersebut tetap tidak akan tercapai. Hanya di dalam bahasa Arab, kita dapat rasai kesemua tersebut dengan lebih mendalam.

Jikalau kita bercakap tentang bahasa Arab, terbayang di dalam minda kita kesukaran untuk memahami Al-Quran. Malahan ada masanya penulis memandang sesetengah dari kita yang menidakkan kepentingan bahasa Arab, dan bersungguh memperjuangkan bahawa cukup bagi kita dengan membaca terjemahan bahasa Melayu. Ini semata-mata merupakan perasaan takut di dalam hati mereka, bahawa masih banyak perkara yang perlu mereka pelajari, dan mereka khuatir bahawa mereka tidak mampu mempelajarinya. Di dalam situasi sebegini, penulis merasakan bahawa kesedaran sebegitu adalah penting dan berharga. Cuma sahaja yang penting ialah apakah tindakan kita setelah mempunyai kesedaran sedemikian.

Ada di antara kita yang cuba menidakkan kepentingan pengajian bahasa Arab, namun penulis mencadangkan, bahawa perkara yang lebih benar dan terpuji untuk dilakukan ialah persiapkan GENERASI yang berikutnya dengan kemahiran berbahasa Arab, iaitu generasi anak-anak kita. Andai kita merasakan bahawa kita sudah terlepas untuk mempelajari sesuatu ilmu yang penting, maka adalah sangat bagus jikalau kita mempersiapkan anak-anak kita dengan limpahan ilmu yang kita tidak berpeluang untuk memilikinya. Bukankah Umar ra pernah berpesan kepada kita, bahawa persiapkan anak-anak kita dengan ilmu yang lebih daripada diri kita sendiri, kerana mereka tidak akan lagi hidup sezaman dengan kita? Di sinilah kesedaran tentang pentingnya memahami Al-Quran itu dating. Juga dari sinilah, kita akan memulakan langkah pertama dalam menanamkan, memantapkan dan mengukuhkan aqidah anak-anak kita. Bayangkan, dengan memahami Al-Quran, mereka akan mempunyai pengukuhan aqidah yang lebih mantap daripada kita, dan mereka akan berpeluang untuk memahami Al-Quran dengan lebih lanjut dan mendalam. Bukankah itu yang kita mahukan untuk anak-anak kita?

Tidakkah kita mahu anak kita terus menunaikan solatnya, dan mengajak rakan-rakannya untuk solat bersama-sama dengannya di university nanti? Tidakkah kita mahu berasa tenang sentiasa, mengetahui bahawa anak perempuan kita tidak mendedahkan auratnya, di tempat-tempat yang kita tidak mempunyai mata untuk melihat? Tidakkah kita mahu anak-anak, bangkit di tengah malam ketika kita sedang nyenyak tidur, dan dia menunaikan solat dan berfikir di hening malam? Tidakkah kita mahu melihat rintisan air mata di pipi mereka, sewaktu mereka mendendangkan ayat-ayat Allah dengan fasih dan penuh penghayatan, dan kemudian menceritakan kepada kita berkenaan ayat yang baru dibacanya dengan jelas, tanpa perlu merujuk kepada buku terjemahan?

Bukankah itu yang kita doakan setiap hari, “Ya Allah…kurniakanlah kami isteri dan anak-anak yang menyejukkan hati kami”?

iii) Akhir sekali, kita hendaklah menyedari bahawa untuk melahirkan anak yang soleh, yang akan sentiasa menjaga dirinya dari sebarang jenayah aqidah atau fizikal, kita perlulah memberikan mereka ‘kuasa’. Untuk memberikan mereka kuasa yang akan menjaga diri kita, kita sendiri hendaklah mempunyai ‘kuasa’ tersebut, dan ilmu adalah kuasa! Bak kata pepatah barat, ‘knowledge is power’. Atau dengan kata lainnya, segala-galanya perlulah bermula dengan diri kita sebagai ibu bapa.

Bagaimana mungkin kita mahukan anak yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah rasulNya, jikalau kita sendiri tidak mengambil tahu berkenaannya? Kerana itu kita sendiri yang harus memulakan pencarian ilmu kita mulai dari sekarang. Segala-galanya bermula dengan kita. Begitulah tabiat ilmu, dakwah dan hidayah, iaitu kita yang harus memulakan langkah pertama.

Teringat penulis berkenaan peristiwa wahyu pertama, di mana wahyu yang pertama merupakan arahan yang jelas kepada diri rasul saw, iaitu ‘bacalah’. Begitu setelah beberapa lama, barulah turun wahyu kedua yang mengandungi arahan kepada rasul saw untuk keluar berdakwah. Oleh itu kata ulama’ hadis, Muhammad saw telah diangkat menjadi Nabi terlebih dahulu, kemudian barulah baginda saw diangkat menjadi rasul. Sebagaimana yang kita ketahui, nabi mendapat wahyu hanya untuk dirinya sendiri, dan rasul ditugaskan untuk menyampaikan wahyu yang diterima.

Begitu juga, di awal dakwah Islam, Nabi Muhammad saw memulakan dengan keluarganya yang terdekat, dan sahabat baginda saw yang terdekat. Malahan di dalam Al-Quran juga terdapat ayat yang memerintah Rasulullah saw untuk mula berdakwah dengan mereka yang terdekat terlebih dahulu. Seperti kata penulis, itulah tabiat dakwah, mulakan dengan diri sendiri, kemudian kepada keluarga terdekat, kemudian barulah kepada orang ramai.

Begitulah juga dengan hal keibubapaan, untuk memberikan ilmu kepada anak-anak, kita sendiri yang harus memulakan segalanya, mengambil langkah pertama. Benar ada banyak sekolah-sekolah agama di luar sana, namun kita sama sekali tidak boleh menunggu anak kita besar, dan menghantar mereka ke sekolah agama, dan mengharapkan mereka menjadi orang yang berpengatahuan agama. Tanggungjawab untuk membentuk mereka terletak pada bahu kita, bukan pada bahu orang lain. Oleh itu segala jenis pendidikan dan tarbiah haruslah kita mulakan dari rumah lagi, seawall yang mungkin.

Rasulullah saw pernah bersabda, “Ajarkan anak kamu solat ketika berusia 7 tahun, dan pukullah dia (jika dia tidak menunaikan solat) ketika dia berumur 10 tahun”. Itu merupakan perihal fekah (solat). Imam Hasan al-Basri pula berkata, “Ajarkan anak kamu tentang ilmu tauhid di saat dia sudah tahu membezakan tangan kiri dan tangan kanannya”. Umar ra pula pernah berkata, “Ajarkan anak kamu tentang sirah sebagaimana kamu ajarkan mereka Al-Quran”. Segala pendidikan yang kita lihat, semuanya menunjukkan bahawa ianya perlu bermula seawal mungkin, malahan juga bermaksud bahawa semuanya bermula dengan diri ibu-bapa.

Begitulah sahaja yang dapat penulis coretkan kali ini. Moga ada manfaatnya, dan moga ianya menjadi inspirasi kepada mereka yang membaca.

Ya Allah…kurniakanlah kami isteri dan anak-anak yang soleh, yang mendoakan kami ketika di dalam kubur kelak.

Ya Allah…jadikanlah kami tergolong di dalam mereka yang mendirikan solat, dan juga dari zuriat-zuriat kami, ya Allah terimalah doa kami.

Ya Allah…bukakanlah pintu hati umat Muhammad ini, untuk kembali mencari nur Muhammad saw, sebagaimana yang ditatapi orang para sahabat terdahulu…bukakan pintu hati mereka untuk kembali menyintai Muhammad dengan sepenuh hati dan sebenar cinta.

Ya Allah…ampunkanlah dosa kami, ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, dan sekalian orang-orang yang beriman pada hari terjadinya perhitungan.

Ya Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?

Wassalam.

Penulis Oleh,
abu-Intisaar.blogspot.com


Monday, April 26, 2010

Menziarahi orang bukan Islam di hari perayaan agama

Soalan:

Bolehkah orang Islam menziarahi rumah orang bukan Islam pada hari-hari perayaan keagamaan mereka atau apabila berlaku kematian?

Amrina, Pontian, Johor.

Jawapan:

Allah s.w.t. berfirman: “Hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” [Surah al-Maidah, ayat 2]

Hari perayaan keagamaan ada yang disambut sempena kelahiran anak tuhan, sempena kemenangan salah seorang tuhan kebaikan atas kejahatan atau sempena masuknya tahun baru yang diyakini memberi nasib sekian-sekian. Semua ini bertentangan dengan Islam kerana Allah tidak memiliki anak, tidak ada tuhan selain Allah dan nasib baik atau buruk bergantung kepada usaha manusia untuk mencari takdir Allah.

Apabila berhadapan dengan penganut agama seperti di atas, kita dianjurkan tolong-menolong ke arah kebaikan dan Islam. Antaranya ialah berbuat baik kepada mereka, membantu mereka, berdakwah kepada mereka dan menziarahi mereka pada selain hari keagamaan. Namun kita tidak dianjurkan menziarahi mereka sempena hari perayaan keagamaan kerana tindakan itu menunjukkan pengiktirafan ke atas sebab mereka menyambut perayaan itu, sehingga menjadilah kita orang yang tolong-menolong ke arah dosa dan kesalahan.