Tuesday, December 22, 2009

Infak jamin kebajikan golongan daif, jana ekonomi umat Islam

Oleh Penulis Khas YaPEIM

MENGELUARKAN sumbangan atau infak untuk kebajikan sebenarnya mempunyai kedudukan penting dalam sistem ekonomi Islam. Istilah infak ini termasuk zakat, sedekah dan segala perbelanjaan untuk kebajikan merangkumi sedekah jariah dan wakaf.


Amal jariah yang dipopularkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang diperkenalkan semula pada pertengahan tahun 1980-an turut menggabungkan dua ibadat iaitu amal soleh dan sedekah jariah.


Dalam konteks Islam, keupayaan melaksanakan ibadat yang dianjurkan ini mempunyai kaitan jelas dengan tahap keimanan kepada Allah. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, “Kitab al-Quran itu tiada padanya sebarang keraguan. Ia memberi hidayah kepada orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang dikurniakan kepada mereka.” (al-Baqarah: 2-3)


Dalam konteks kita melakukan amal kebajikan, konsep kebaktian wajar menjadi panduan dan rujukan. Kebajikan bukan saja merujuk kepada hala tuju sewaktu melakukan ibadat semata, tetapi kebajikan atau kebaktian sebenar ialah keseimbangan hubungan langsung dengan Allah dan terhadap sesama makhluk khususnya manusia.


Allah SWT berfirman, “Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke arah timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, malaikat, kitab, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar di dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa.” (Al-Baqarah: 177)


Jelas ia menunjukkan kepada kita bahawa amal jariah adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada maksud kebajikan atau kebaktian. Malah, dari sudut sejarah ia menjadi sebahagian budaya hidup sejak zaman Rasulullah SAW.


Ada sahabat utama Baginda SAW yang sanggup mengeluarkan sebahagian harta kesayangan mereka, malah terdapat juga yang menginfak hampir keseluruhan harta yang dimilikinya atas asas keimanan kepada Allah SWT dan Rasulnya.


Pengalaman Abdul Rahman bin Auf umpamanya, wajar menjadi rangsangan kepada kita. Pada masa hijrahnya, semua harta kekayaan dan kesayangannya ditinggalkan di Makkah.


Bagaimanapun, berasaskan pendirian tegas dalam meneruskan kehidupannya, beliau tidak mudah menerima tawaran pemberian percuma sebahagian daripada harta kekayaan dan kesayangan saudaranya dari kumpulan Ansar, Sa’ad bin Rabi’.


Sebaliknya, apa yang diperlukan beliau ialah meminta ditunjukkan di mana pasar untuk beliau memulakan perniagaannya. Diriwayatkan, beliau pernah membiayai keperluan peperangan dengan menyediakan masing-masing 500 kuda tempur serba lengkap dan 500 ekor unta untuk membawa konvoi bekalan.


Demikianlah satu daripada contoh sahabat yang gigih dalam usahanya dan banyak sekali amal kebajikan dilakukan khususnya dalam konteks mengeluarkan harta kepada jalan Allah. Allah terus memberi kemurahan rezeki dan memberkati harta Abdul Rahman bin Auf kerana sikap dermawan.


Kita menyaksikan hingga ke abad mutakhir ini, masih terdapat mereka yang bersedia dan sanggup mengeluarkan harta pada jalan kebajikan dan manfaatnya daripada amalan ini juga adalah besar serta berpanjangan.


Kewujudan institusi pendidikan penting seperti Universiti Al-Azhar Mesir adalah contoh terpilih betapa amalan baik dan murni masih menjadi budaya kepada sebahagian daripada masyarakat Islam yang benar-benar meyakini bahawa amal jariah adalah suatu saluran menyempurnakan tanggungjawab sosial.


Di negara kita, amalan bersedekah atau beramal jariah dipraktikkan secara meluas. Terdapat banyak sekali institusi ibadat, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah, walaupun peruntukan yang disediakan kerajaan adalah besar. Keadaan ini membuktikan bahawa budaya beramal jariah bukanlah sesuatu yang baru dan asing kepada masyarakat kita.


Hikmah infak adalah:


l Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh, melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional serta disokong semua lapisan masyarakat berasaskan tahap keupayaan masing-masing, boleh mewujudkan satu bentuk kekuatan yang hebat dan mampu mewujudkan sebuah dana besar yang berperanan dalam membangun sosio ekonomi masyarakat.


l Pelaksanaan program amal jariah berasaskan tafsiran luas memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian daripada permasalahan masyarakat. Program sedemikian juga mempamerkan keindahan Islam yang sebenar, sekali gus menjadi media dakwah berkesan kepada masyarakat bukan Islam.

Monday, December 21, 2009

Salam Ukhwah buat semua, dikesempatan ini saya ingin mengucapakan Selamat Tahun Baru Hijri 1431 H. Khususnya kepada semua kenalan dan kerabat yang mengenali. Semoga Tahun Baru ini akan bertambah kebaikan dan kejayaan kita semua.... Amin.. Ws.