Monday, January 18, 2010

Ayat al-Quran Bukan Sekadar Hiasan Dinding

UKIRAN ayat al-Quran, hadis nabi dan nama Allah menjadi pilihan sebagai hiasan yang digantung di dinding rumah, masjid serta premis perniagaan. Mungkin ada beranggapan ia sebagai satu bentuk ibadah atau bertujuan mengelak daripada gangguan.


Syeikh Ibnu 'Utsaimin memperingatkan dua perkara berkaitan al-Quran iaitu jika menganggap menggantungkan ayat al-Quran termasuk dalam ibadah, perbuatan itu tidak pernah dilakukan sabahat dan pengikut mereka.


Atau jika menggantungkan ayat itu dengan niat mengelak keburukan, ia bukan perantara untuk mengelak keburukan tetapi membaca ayat suci al-Quran dapat membantu daripada gangguan serta mengelak keburukan.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi pada malam hari maka sentiasa dia akan mendapat penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan mendekatinya sampai pagi hari." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan An Nasai) .


Sesungguhnya cara mencari keberkatan dengan al-Quran adalah membacanya mengikut hukum, melafazkan dengan lisan, mengimani apa yang disampaikan dalam hati dan mengamalkan dengan anggota tubuhnya.


Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barang siapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah, ayat 121)

No comments: